 |
| ~kesEdihan mendeKAtkan dirI paDANya~ |
“Si Buruk!”
“Anak luar nikah!
“Pembawa malang!”
Diam. Pandangannya terus ditundukkan. Kakinya terus laju mengatur langkah tanpa menghiraukan caci maki mereka. Biarlah, mereka tidak tahu dan tidak pernah akan tahu. Biarlah, mereka tidak faham dan tidak pernah akan faham. Hanya dia. Hanya dia dan Kak Lia saja yang tahu dan faham.
Selang 6 buah rumah-rumah batu yang gah berdiri ini, dia akan sampai ke destinasi yang dituju. Fikirannya melayang memikirkan ibu sudah lama meninggal ketika melahirkannya dan ayah pula sudah menemui pengganti ibu. Tempat bergantungnya kini hanya dengan Kak Lia. Kak Lialah pengganti ibu dan ayah. Kak Lialah abang dan kakak.
“Assalamualaikum.”
“Assalamualaikum.”
“Assalamualaikum.”
Tiga kali salam, tiada bersahutan. Dia cemas. Matanya merenung mangkuk tingkat yang masih lagi digenggam kemas oleh tangan kiri. Hati berbelah bagi untuk masuk ke dalam rumah batu bercat jingga. Patutkah dia masuk atau terus balik semula. Dia tidak betah untuk berada lama-lama sementelah kedatangannya selama ini bagai malapetaka buat ibu tirinya.
Namun atas perasaan ingin tahu, kakinya dihayun ke muka pintu. Menggeletar lututnya ketika memijak jubin-jubin berwarna putih. Selama ini di teratak peninggalan Nek Limah, kakinya hanya mampu merasakan betapa kasarnya kepingan papan usang yang sudah berusia berpuluh tahun itu.
Mulutnya ternganga. Di hadapannya kini terkujur sebatang tubuh yang amat dikenali. Hatinya mula berbelah bagi untuk masuk menolong atau tidak.
“Budak sial! Engkau jangan berani nak jejak ke dalam rumah aku ni. Nanti tak pasal-pasal sial kau tu bawa bala kat rumah ni!”
Amaran itu masih lagi terngiang-ngiang. Bergema di mindanya. Fikirannya jadi buntu sekarang ini. Apalah daya seorang yang berusia 8 tahun? Patutkah dia meminta pertolongan dari jiran-jiran terdekat? Atau patutkah dia terus sahaja meninggalkan ibu tirinya terbaring?
Akhirnya, dia membuat keputusan. Tubuhnya dipusingkan. Dia perlu segera turun dari rumah itu. Kalau tidak pelbagai kemungkinan yang buruk akan berlaku.
Matanya terbeliak. Jelas ketakutan terpancar dari matanya. Di depannya kini berdiri ayahnya dengan muka bengis. Raut muka yang menyinga itu sudah cukup untuk membuat tubuhnya terketar-ketar. Bibirnya pucat. Tangannya sudah terasa dingin. Dahinya mengeluarkan keringat sejuk.
“Apa yang kau dah buat?!”
Hampir terlompat dia dengan suara nyaring yang menengking itu. Itukah kasih sayang yang patut ditunjukkan oleh seorang ayah? Padahal di sekolah selama ini dia diajar bahawa ayah itu sifatnya penyayang. Ayah itu yang bertanggungjawab mencari rezeki dan memberi perlindungan. Tapi kenapa ayah yang berdiri di depannya kini berbeza sungguh. Adakah cikgu-cikgu di sekolah yang salah mencirikan watak seorang ayah yang sebetulnya? Mungkin watak seorang ayah yang patut didedahkan adalah seperti lelaki yang berdiri di depannya kini?
Pap!
Berkali-kali tubuhnya menjadi sajian kepada tali pinggang yang fungsinya sepatutnya di seluar ayah. Kesakitan yang menular di tubuh ditahan. Bibirnya diketap. Dia tidak akan mengeluarkan sebarang bunyi, kalau tidak libasan di badannya akan bertambah kuat.
Sakit ayah! Sakit! Sayang perkataan itu hanya terperangkap pada kerongkongnya. Kesakitan akibat libasan demi libasan membuatkan dia tidak terdaya.
Bukan sekali dia disayangi oleh ayahnya dengan cara begini. Disayangi? Kata Kak Lia, inilah caranya ayah menunjukkan kasih sayang. Bila ditanya kenapa berbeza benar cara ayah dengan ayah kawannya, Kak Lia kata ayah unik. Oleh itu, dia perlu menghargai cara ayah menyayanginya dengan mendiamkan diri dan merelakan badannya menjadi mangsa kepada libasan demi libasan.
Ya Allah, berulang kali diucapkannya dalam hati. Kata Kak Lia kalau setiap kali ayah menunjukkan kasih sayangnya, dia perlu mengucapkan Ya Allah berulang kali. Kata Kak Lia itu umpama mengucapkan terima kasih kepada ayah. Ah, benarkah itu, Kak Lia?
Ayah masih tidak berhenti lagi. Pandangannya mula kelam dan akhirnya menjadi kelam. Sedar-sedar sahaja dia sudah berada dalam semak. Pakaianya sudah rabak dimamah libasan tali pinggang ayah.
Lutut dirapatkan ke tubuh. Kepalanya disandarkan pada lutut dan perlahan-lahan air matanya mengalir. Pelik tapi itulah hakikatnya, kenapa dia perlu terasa sedih dengan cara layanan ayah menunjukkan kasih sayang dengannya. Dengan adik-adik tirinya ayah tidak pernah menunjukkan kasih sayang yang sedemikian rupa. Agaknya dia terlalu disayangi ayah sehingga layanan ayah terhadapnya juga berbeza sungguh.
Senja itu menjadi saksi dia berjalan terhuyung-hayang balik ke teratak usangnya yang berada di pinggir hutan, jauh dari kawasan yang gah dengan rumah-rumah yang bercat dan penuh dengan warna bila malam menjelang.
Kalau dia bisa katakan pada ayah perkara yang sebenar, adakah ayah akan berhenti untuk tidak melibaskan tali pinggang sehingga meninggalkan birat merah di tubuhnya? Dia tak pasti.
15 tahun sudah berlalu. Namun, kejadian hari itu ibarat parut yang tidak akan hilang malah masih segar lagi membaluti memorinya.
Kini, dia tinggal sebatang kara. Tanpa ayah. Tanpa Kak Lia. Tanpa ibu tirinya. Tanpa adik-adik tirinya. Kak Lia terlibat dalam kemalangan dan meninggal di tempat kejadian. Ayah dan keluarga barunya pula rentung bersama rumah yang bercat jingga itu.
Tragis. Kehidupan sebatang kara sejak dia berumur 15 tahun yang tragis. Tanpa kata, ternyata maut kejam meragut nyawa-nyawa mereka. Tanpa amaran maut membenarkan keluarganya tinggalkan dia seorang.
Mujur di saat itu, pengalaman buat dia kuat hadapi dugaan demi dugaan. Sudahlah digelar anak luar nikah, pembawa malang dan si buruk, kehilangan mereka yang mempunyai pertalian darah dengannya terasa terlalu berat untuk dipikul olehnya. Berat mata memandang,namun berat lagi berat lagi bahu yang memikul.
Bukan mudah untuk mengutip cebisan demi cebisan kehidupannya yang sudah carik. Tapi masih ada lagi yang menyayanginya.
Nur Adira Zulaikha binti Abdul Rahman. Nama ini semanis orangnya. Tanpa sahabat seorang ini entah kehidupan apa yang bakal mewarnai masa depannya.
“Nur, Dira tak suka kalau Nur diam saja. Ingat setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.”
Diam.
Dia diam. Sedikit tidak terkesan di hatinya akan kata-kata roommate sejak hari pertama menginjakkan kaki ke Sekolah Menengah Sains Labuan. Segala duka terkumpul di hatinya sehingga tak tergambarkan dengan kata-kata.
Dia tak tahu apa yang harus dia lakukan. Dan malam itu, ketika sedang dia terbaring merenung siling putih dengan pandangan yang kosong, telinganya menangkap sayup-sayup suara Dira mengalunkan ayat-ayat suci dari kitab suci Al Quran.
“Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang di usahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dan berkata): "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, dan berilah rahmat kepada kami, dan beri Penolong kami oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".
(Surah Al Baqarah ayat 286)
Kedengaran lagi suara Dira membacakan tafsir bagi ayat yang dibacanya. Terpana dia seketika. Terpana dia seketika dengan kebodohannya selama. Terpana dengan kejahilannya selama ini.
Dan hari ini, dia sudah keluar dari kepompong lama. Dia sudah memulakan dengan titik perjalanan hidup yang baru. Walaupun sebelum ini kehidupannya penuh dengan warna duka, yang masih lagi jadi parut dalam memorinya, dia tetap bersyukur atas apa yang dia jadi pada hari ini.
Andai dia punya kesempatan, ingin dia katakan kepada ayah bahawa dia tidak tahu kenapa isteri baru ayah terbaring di tengah-tengah ruang tamu. Dan dia ingin tanyakan ayah kenapa cara ayah menyayangi terlalu istimewa?
Dan jika dia punya waktu, ingin dia berterima kasih kepada Kak Lia pada untuk hari-hari yang mereka kongsi bersama. Alangkah begitu hati ini merindui Kak Lia, namunlah apa dayanya menolak ketentuan bahawa kakaknya sudah lama dijemput untuk menemui PenciptaNya.
Malah, jika dia punya peluang untuk menjejakkan kaki ke teratak usangnya yang menyimpan cerita dukanya, mahu saja dia katakan kepada mereka yang mencacinya dulu, “Terima kasih. Kalau tidak mungkin saya bukan saya yang hari ini.”
Parut yang melintang di dahinya diusap perlahan. Terasa memori semalam mengasak mindanya untuk mengimbas kembali setiap apa yang berlaku.
Sejak hari dia kehilangan keluarganya, keluarga Encik Abdul Rahman telah mengambilnya sebagai anak angkat.
Sejak dari itu, barulah dia dapat mengenalpasti ciri-ciri seorang ayah yang selalu cikgunya di sekolah sebutkan. Seorang ayah yang bertanggungjawab, mencari rezeki dan memberi perlindungan dan mendidik dengan penuh kasih sayang.
Dari situ, jiwa gersangnya bagai disiram semula dengan kasih sayang keluarga Nur Adira Zulaikha binti Abdul Rahman. Dia mula membentuk dirinya yang sudah kehilangan daya untuk senyum. Dirinya bagaikan sudah menemui vaksin untuk melawan segala virus dalam hatinya.
Kejadian dia mendengarkan alunan Al Quran malam itu juga menyedarkan dia bahawa hidup ini masih ada lagi Dia. Kasih sayangNya lebih hakiki. Sejak itu, dia mula mendalami cinta Allah swt kepadanya.
“Doktor Nur Qalisha?”
Suara Dira menyedarkannya bahawa dari lamunannya. Senyuman segera dilemparkan untuk sahabat yang sentiasa berada di sisinya. Namun, pada hari dia mendengar ayat-ayat Allah dari surah Al Baqarah malam itu dia tahu bahawa Allah swt sentiasa ada untuk dia. Sesungguhnya di setiap titis air mata, di setiap gelak tawa itu Allah swt ada bersama kita.
Oleh : daRK ChOcS